PKR Sokong Agenda MADANI, Umum Kongres Nasional Di Melaka Jun Ini

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengulangi komitmennya terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat menerusi kenyataan media rasmi selepas mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlangsung pada Ahad.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat tersebut menekankan sokongan padu terhadap inisiatif terbaharu Kerajaan MADANI khususnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, antara yang dibincangkan ialah Pelan Pendidikan Nasional yang bertujuan memperkasa kualiti pendidikan dan mempersiapkan generasi muda menghadapi era digital.

“Majlis Pimpinan Pusat PKR menyambut baik usaha Kerajaan MADANI dalam memperkasa kualiti pendidikan negara serta mempersiapkan generasi muda menghadapi era digital,” menurut Fahmi Fadzil.

Katanya, PKR turut menyokong penambahbaikan program bantuan rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dilihat mampu meringankan beban kos sara hidup.

“Majlis turut menyambut baik penambahbaikan program bantuan rakyat seperti SARA, STR, Jualan Rahmah dan BAP yang dapat membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh integriti negara, Fahmi Fadzil berkata, parti itu menyatakan sokongan terhadap tindakan tegas kerajaan dalam memerangi rasuah dan kartel.

Satu pengumuman penting turut dibuat berkenaan Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung di Melaka dari 25 hingga 28 Jun 2026.

Maklumat lanjut akan dikongsikan oleh Ibu Pejabat PKR dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, beberapa pelantikan baharu telah dibuat bagi mengukuhkan barisan kepimpinan parti:

Ex Officio Biro Politik PKR:

  • Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
  • Akmal Nasrullah Mohd Nasir
  • Dr Mohammed Taufiq Johari
  • Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid
  • Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz

Ex Officio MPP PKR:

  • Datuk Jamawi Ja’afar
  • Datuk Ruji Ubi
  • Datuk Yamani Hafez Musa

Anda Mungkin Berminat