PKR tegas: Tiada kompromi terhadap rasuah, sedia kerjasama siasatan

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan melindungi mana-mana ahlinya, termasuk Ahli Parlimen, sekiranya terbukti terbabit dalam salah laku seperti rasuah.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pendirian itu selari dengan prinsip yang sering ditegaskan Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memaklumkan, parti itu juga bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan dakwaan pembabitan seorang ahli dalam isu penyelewengan dana berjumlah RM10 juta.

Menurutnya, kepimpinan PKR telah dimaklumkan mengenai laporan media yang mengandungi kenyataan serta dakwaan berkaitan individu berkenaan.

“Sehubungan itu, kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat unsur salah laku.

“PKR tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan terus memberi kerjasama kepada pihak penguat kuasa,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Rabu.

Semalam, ahli perniagaan, Victor Chin menerusi dokumen setebal 40 muka surat mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR yang tidak dinamakan meminta bayaran tunai RM10 juta sebagai balasan untuk menyelesaikan masalah undang-undangnya berkaitan kumpulan yang didakwa sebagai mafia korporat.

Susulan itu,  Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan menegaskan beliau tidak pernah mengenali atau berurusan dengan ahli perniagaan tersebut mencabar Victor supaya tampil menamakan individu yang dirujuk sebagai “Mr R”, yang didakwa menjadi orang tengah dalam rangkaian mafia korporat berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat