KOTA KINABALU: Perjuangan untuk menegakkan hak dan kepentingan rakyat Sabah masih jauh dari selesai, namun tekad untuk meneruskannya tidak pernah luntur, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.
“Saya tahu ini akan menjadi satu perjuangan yang sukar tetapi inilah sebabnya kita mesti terus mara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, hasil perbincangan bersama rakan-rakan seperjuangan, PKR telah diberi amanah untuk bertanding di beberapa kerusi di Sabah dalam usaha memastikan suara rakyat negeri itu terus diperjuangkan di peringkat Persekutuan.
“Sepertimana amanat yang disampaikan oleh YAB PMX, kami akan terus berusaha dengan penuh keazaman untuk bekerja dan mendengar suara rakyat di Sabah,” katanya.
Nurul Izzah turut menekankan pencapaian Kerajaan MADANI sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022 khususnya dalam mempercepat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dalam tempoh tiga tahun, Kerajaan MADANI telah berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan utama, sesuatu yang gagal direalisasikan oleh pentadbiran sebelum ini.
“Langkah-langkah yang sebelum ini tidak pernah diambil, kini telah pun dilaksanakan,” ujarnya.
Namun beliau mengingatkan bahawa perjuangan ini masih belum selesai.
“Usaha ini belum selesai, kita baru tiba ke pertengahan jalan.
“Jangan patahkan usaha ini. Jangan biarkan perjuangan ini terhenti separuh jalan,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika mandat tidak lagi diberikan kepada Kerajaan MADANI, segala kemajuan yang telah dicapai berisiko untuk terhenti dan kembali ke titik permulaan.
“Kita memerlukan sokongan yang lebih kuat daripada rakyat Sabah sendiri untuk memastikan perjuangan menegakkan hak Sabah benar-benar tertunai,” katanya.
Nurul Izzah turut menyentuh kegagalan pentadbiran terdahulu yang menurutnya hanya menabur janji tanpa hasil.
“Dahulu, ada parti yang lantang melaungkan slogan ‘Sabah Ubah’ sepanjang 26 bulan memerintah.
“Tapi sayangnya, rakyat tidak merasai sebarang perubahan. Rizab kewangan negeri menurun, ekonomi merosot hampir 10 peratus dan janji untuk menyelesaikan krisis air dalam tempoh setahun juga gagal ditunaikan.
“Semua itu hanyalah janji kosong dan retorik politik semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, PKR tidak akan mengulangi kesilapan itu.
“Kali ini, kita pastikan kemajuan benar-benar sampai kepada setiap lapisan rakyat, Insya-Allah,” katanya penuh yakin.
Nurul Izzah turut menyeru rakyat Sabah untuk terus bersama dalam perjuangan ini.
“Kami percaya bahawa Sabah berhak menerima yang terbaik sebagai sebuah negeri yang bermaruah dan berdaulat.
“Dengan semangat itu, kami akan terus berusaha sedaya upaya, demi kemajuan Negeri di Bawah Bayu.
“Inilah komitmen PKR untuk Sabah, komitmen yang dibuktikan melalui kerja dan kesungguhan, bukan sekadar kata-kata.
“Bak kata pepatah orang Kadazan, ‘Osusa Toi Asanang Tomoimo Miiso’, ‘Susah atau senang, suka atau duka, kita tetap bersama,”” katanya.







