PKR Terengganu Gesa Kerajaan Negeri Laksana Model Politik, Ekonomi Baharu Secara Tuntas

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Terengganu menggesa kerajaan negeri agar tidak sekadar beretorik dalam memperkenalkan konsep ‘cooperative federalism’ dan ‘fiscal federalism’, sebaliknya mengambil langkah pelaksanaan yang jelas dan berkesan demi kepentingan rakyat.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangan PKR Terengganu, Aiman Wan Alias menyambut baik hasrat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang membangkitkan konsep tersebut dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) baru-baru ini.

Namun katanya, kenyataan itu disifatkan sebagai tidak disertai dengan tindakan konkrit.

“Menteri Besar (Samsuri) menuntut lebih kuasa diberikan kepada kerajaan negeri tetapi pada masa yang sama enggan bekerjasama secara erat dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sikap ini bertentangan dengan semangat federalisme dan tidak menguntungkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama secara proaktif dengan Kerajaan Persekutuan khususnya dalam usaha membangunkan Terengganu secara menyeluruh dan inklusif.

Menurutnya, cadangan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji dasar pembangunan negara turut disambut baik, namun beliau menegaskan bahawa ia perlu disertai dengan reformasi pentadbiran negeri yang sistematik, berpaksikan data dan berorientasikan keberkesanan untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Antara tuntutan utama yang dikemukakan termasuklah pelaksanaan transformasi digital ekonomi negeri melalui perluasan e-dagang dan digitalisasi peruncitan, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dicadang juga agar kerajaan negeri mengintegrasikan sektor pelancongan dengan projek infrastruktur strategik seperti East Coast Rail Link (ECRL) termasuk pembangunan kampung warisan dan taman agro-pelancongan berasaskan Transit-Oriented Development (TOD).

Dalam aspek politik, Aiman menggesa agar kerajaan negeri mencontohi model kerjasama rentas parti seperti yang diamalkan di Kelantan, di mana keterbukaan tanpa prejudis politik telah memberi manfaat besar kepada rakyat.

Beliau berkata, pembangunan sebenar hanya akan tercapai apabila kerajaan negeri berhenti menyalahkan pihak lain dan mula mengambil tanggungjawab penuh sebagai pemerintah.

“Konsep ‘cooperative federalism’ mestilah diterjemahkan melalui tindakan yang adil, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat, bukannya sekadar retorik politik,” tegasnya lagi.

Anda Mungkin Berminat