PKR Titiwangsa Cadang Penstrukturan Semula Bantuan Diesel

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Titiwangsa menggesa agar Kerajaan MADANI menstruktur semula bantuan kepada pengguna minyak diesel, susulan kenaikan harga bahan api itu yang memberi kesan kepada pelbagai sektor industri.

Cadangan tersebut diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Titiwangsa pada Ahad, 12 April 2026 di Dewan Serbaguna Desa Pandan, yang turut dirasmikan oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, penstrukturan semula itu merangkumi beberapa langkah termasuk memperkenalkan kuota subsidi diesel bagi kenderaan persendirian serta menurunkan kadar cukai jalan sebanyak 50 peratus kepada pemilik kenderaan diesel persendirian dan komersial.

“PKR Titiwangsa amat prihatin terhadap rungutan ramai berikutan kenaikan ketara harga minyak diesel yang serba sedikit akan menjejaskan pelbagai industri dan memuncakan kenaikan harga barang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun krisis tenaga itu bersifat global, kerajaan boleh mengambil langkah adaptasi bagi mengurangkan kesan kenaikan harga terhadap rakyat.

“Kami juga berharap agar kerajaan dapat segera mengembalikan kuota 300 liter Ron95 Budi MADANI tatkala krisis di timur tengah berakhir,” katanya.

PKR Titiwangsa turut menegaskan komitmen untuk terus berdiri teguh di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menyokong dasar Kerajaan MADANI dalam menangani cabaran ekonomi semasa.

Anda Mungkin Berminat