PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil langkah tegas menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji pelaksanaan dasar Boikot, Pelupusan dan Sekatan (BDS) terhadap rejim Israel.
Penubuhan jawatankuasa itu diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang berlangsung di Kota Kinabalu pada 9 November lalu, sebagai sebahagian daripada komitmen parti terhadap keadilan sejagat dan solidariti kemanusiaan.
Menurut Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik, jawatankuasa tersebut akan meneliti secara menyeluruh cadangan tindakan BDS yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia, sama ada secara unilateral atau melalui kerjasama antarabangsa.
“Jawatankuasa ini akan mengkaji secara menyeluruh langkah-langkah yang realistik dan berkesan bagi memastikan dasar BDS dapat memberi kesan langsung terhadap penindasan rejim Israel,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, hasil kajian dan cadangan yang dirumuskan akan dibentangkan terlebih dahulu kepada MPP sebelum dibawa ke peringkat gabungan Pakatan Harapan dan seterusnya ke Kabinet untuk pertimbangan dan pelaksanaan.
“Setelah diterima di peringkat MPP, cadangan itu akan dibincangkan di peringkat gabungan dan seterusnya dibawa ke Kabinet untuk kelulusan serta pelaksanaan,” katanya.
Dr Maszlee yang turut dilantik mengetuai jawatankuasa tersebut berkata, inisiatif itu bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan pendirian tegas PKR dalam menolak kezaliman dan keganasan rejim Israel.
“Langkah ini bukan hanya simbolik tetapi usaha nyata untuk memperkukuh pendirian Malaysia menentang kezaliman dan keganasan rejim Israel,” ujarnya.








