PETALING JAYA: Keputusan Kerajaan Sepanyol di bawah pimpinan Pedro Sanchez untuk memboikot pertandingan Eurovision 2026 sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin disifatkan berani dan berprinsip.
Dalam kenyataan media pada Selasa, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Maszlee Malik merakamkan ucapan tahniah atas tindakan tersebut yang jelas membantah kekejaman berterusan di Gaza.
“Kami (PKR) juga memuji kerajaan dan institusi awam Slovenia, Iceland dan Ireland bersama beberapa artis serta kumpulan masyarakat sivil di seluruh Eropah yang telah mengambil pendirian serupa atau menyuarakan sokongan kuat terhadap tindakan Sepanyol,” katanya.
Maszlee berkata, tindakan kolektif itu mencerminkan kebangkitan moral di Eropah bahawa maruah manusia dan keadilan mesti mengatasi kepentingan politik serta sikap membisu yang selektif.
“Keputusan ini mencerminkan keberanian moral dan komitmen teguh terhadap nilai-nilai kemanusiaan sejagat pada saat ramai memilih untuk berdiam diri,” katanya.
Beliau berkata, dalam dunia yang semakin terpecah akibat hipokrasi politik dan kepentingan kuasa besar, tindakan Sepanyol membuktikan bahawa prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak boleh dikorbankan demi kepentingan politik atau kemeriahan antarabangsa.
Maszlee percaya solidariti bersama rakyat Palestin bukan sekadar isu politik tetapi tanggungjawab moral yang wajib dipertahankan masyarakat antarabangsa.
“Kami berharap lebih banyak negara akan menunjukkan keberanian yang sama dalam mempertahankan nilai keamanan, maruah kemanusiaan, dan keadilan sejagat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendirian negara-negara Eropah itu membuktikan masyarakat demokratik masih mampu menunjukkan kepimpinan berprinsip dalam mempertahankan golongan tertindas.
“Dunia memerlukan lebih ramai pemimpin yang sanggup menyuarakan kebenaran dan bertindak berlandaskan hati nurani walaupun berdepan tekanan antarabangsa,” katanya.








