PKS dijangka raih manfaat besar susulan kenaikan rizab Bank Negara – Penganalisis

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Peningkatan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) bukan sahaja menandakan kekuatan asas ekonomi negara, malah memberi impak langsung kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi akses pembiayaan dan pertumbuhan perniagaan.

Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ketersediaan dana dalam sistem kewangan negara kini berada pada tahap yang tinggi, menjadikan proses pembiayaan dan penerimaan deposit dalam sektor perbankan lebih lancar dan efisien.

“Apabila rizab Bank Negara meningkat, ia memberi isyarat bahawa aliran modal dan dagangan berada dalam keadaan positif. Ini secara langsung melonggarkan sistem kewangan dan membolehkan lebih banyak aktiviti pembiayaan dilakukan,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Perkara ini dilihat memberi kelebihan kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), terutamanya dalam mendapatkan akses kepada dana daripada institusi kewangan. Dengan sistem perbankan yang lebih stabil dan kukuh, keperluan modal kerja dan pinjaman jangka pendek untuk perniagaan lebih mudah dipenuhi.

Tambahan pula, peningkatan ketersediaan dana dalam pasaran menjadikan kos pinjaman lebih kompetitif, sekali gus memberi ruang kepada lebih banyak syarikat mikro dan sederhana untuk memperluaskan operasi mereka.

“Ini bukan sahaja baik untuk kelangsungan PKS, malah berpotensi menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan menggerakkan aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi,” tambahnya.

Secara keseluruhannya, impak positif daripada kenaikan rizab Bank Negara dijangka akan diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dalam tempoh sederhana dan panjang, selari dengan aspirasi pembangunan mampan negara.

Pada Isnin, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Rizab antarabangsa meningkat kepada AS$120.6 bilion (RM511.47 bilion) setakat 30 Jun 2025, berbanding AS$119.9 bilion (RM508.8 bilion) yang dicatatkan pada 13 Jun lalu

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat