KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad menjangkakan aliran trafik meningkat mendadak sehingga 2.3 juta kenderaan sehari di rangkaian lebuh rayanya sepanjang tempoh puncak bermula 27 hingga 29 Mac ini.
Menurut PLUS, lonjakan trafik itu didorong oleh pergerakan orang ramai kembali ke ibu kota selepas bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri, melibatkan perjalanan jarak jauh serta aliran trafik dari bandar utama menuju ke Lembah Klang.
“Pengguna dinasihatkan supaya mengikuti jadual perjalanan MyPLUS-TTA dan merancang waktu perjalanan mengikut cadangan bagi membantu melancarkan aliran trafik di lokasi tumpuan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Bagi mengurangkan kesesakan, PLUS mengaktifkan laluan Smart Lane di 34 lokasi terpilih selain menugaskan pasukan PLUSRonda melakukan rondaan 24 jam untuk membantu pengguna lebuh raya.
Kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah turut dipertingkatkan bagi menampung jumlah pengguna yang dijangka meningkat sepanjang tempoh berkenaan.
PLUS turut mengingatkan pengguna supaya memastikan baki kad Touch ’n Go dan eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol.
Maklumat trafik semasa boleh diperoleh melalui aplikasi PLUS, platform X @plustrafik dan @lpt2trafik, selain paparan mesej elektronik di lebuh raya serta siaran radio tempatan.








