PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik di lebuh raya akan mencecah sehingga 2.3 juta kenderaan pada hari puncak sempena Aidilfitri minggu depan, iaitu peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding purata harian.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, hari puncak perjalanan dijangka berlaku pada 18, 19 dan 20 Mac sebelum Aidilfitri serta 27, 28 dan 29 Mac selepas sambutan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan berpandukan jadual digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya.
“Pengguna yang mematuhi jadual perjalanan MyPLUS-TTA menikmati tempoh perjalanan lebih lancar berbanding mereka yang tidak mengikutinya.
“Sistem ini mengatur trafik dan menggalakkan pengguna memulakan perjalanan secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagi memastikan kelancaran trafik, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 34 lokasi utama sepanjang lebuh raya.
Selain itu, laluan tambahan sepanjang tiga kilometer antara Simpang Renggam hingga Sedenak, Johor akan dibuka bermula 18 Mac hingga 5 April bagi meningkatkan kapasiti laluan di zon projek pelebaran.
Nik Airina turut memaklumkan bahawa lebih 60 lokasi akan menerima penambahbaikan kemudahan termasuk penyediaan 25 tandas kabin tambahan, menaik taraf lebih 37,000 lampu jalan serta menyediakan lebih 100 ruang kecemasan di sepanjang laluan.
“PLUS bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) bagi memastikan pengurusan trafik musim perayaan berjalan lancar.
“Pengguna juga digalakkan mendaftar dengan program Just Go untuk menikmati kemudahan menggunakan mana-mana lorong pilihan sepanjang perjalanan,” katanya.







