PUTRAJAYA: Lawatan kerja sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Itali dari 1 hingga 3 Julai 2025 dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, ianya dilakukan atas undangan rasmi Perdana Menteri Itali, PYT Giorgia Meloni.
“Perdana Menteri (Anwar) dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan PYT Giorgia Meloni pada 3 Julai 2025 di Chigi Palace, Rom.
“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama ekonomi, malah mengangkat peranan Malaysia di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata, pertemuan itu dijangka membincangkan perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baru dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga.
“Kedua-dua pihak juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Itali, Hubungan Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah dan situasi di Timur Tengah,” katanya.
Tambahnya, Perdana Menteri akan diiringi oleh barisan Menteri kanan, termasuk Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul.
Katanya, delegasi itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperluas kerjasama strategik khususnya dalam bidang pelaburan, teknologi pertahanan dan tenaga.
Pada masa yang sama, salah satu acara penting ialah ‘Malaysia-Italy Economic Partnership Roundtable’ pada 2 Julai, yang bakal mempertemukan pemimpin industri dari kedua-dua negara.
Platform itu menyediakan ruang untuk meneroka peluang pelaburan dan perdagangan baharu serta memperkukuh hubungan perniagaan yang sedia ada.
Selain agenda rasmi, Perdana Menteri juga dijadual bertemu komuniti Islam di Itali dan diaspora Malaysia sebagai usaha penting dalam mempererat hubungan bersama rakyat.
Untuk info, pada 2024, jumlah dagangan melonjak dua peratus kepada RM14.61 bilion, manakala tempoh Januari-Mei 2025 menyaksikan peningkatan 3.3 peratus.
Itali kini adalah rakan dagang kelima terbesar Malaysia dalam EU dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit negara bagi tahun 2024.
Difahamkan, selesai lawatan ke Itali, Perdana Menteri dijadual meneruskan lawatan rasmi ke Perancis pada 3 dan 4 Julai 2025 bagi mengukuhkan lagi rangkaian diplomasi Malaysia di Eropah.