PM Adakan Lawatan Kerja ke Thailand, Fokus Perkukuh Hubungan Dua Hala

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand atas jemputan rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra, bagi memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama rentas sempadan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), pertemuan itu turut meneliti pelaksanaan hasil Rundingan Tahunan Malaysia–Thailand ke-7 yang diadakan di Putrajaya pada Disember tahun lalu.

“Kedua-dua pemimpin akan menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu, selain membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Lawatan ini juga menyaksikan Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN, serta sesi libat urus bersama pelabur tempatan di Thailand.

Wisma Putra memaklumkan sesi libat urus antara Anwar dan Paetongtarn mencerminkan hubungan erat dua negara sebagai jiran dan anggota pengasas ASEAN.

“Sesi libat urus sebegini mencerminkan talian persahabatan yang erat serta kerjasama rapat antara Malaysia dan Thailand,” katanya.

Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia secara global pada 2024, dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan mencecah RM114.56 bilion (USD25.03 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, nilai dagangan dua hala meningkat kepada RM17.65 bilion (USD3.96 bilion) berbanding RM16.80 bilion (USD3.67 bilion) dalam tempoh sama tahun lalu.

Lawatan ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan strategik kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama serantau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat