PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Rusia bermula 13 Mei hingga 16 Mei 2025 atas jemputan Presiden Vladimir Putin.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan tersebut akan merangkumi lawatan ke Moscow dari 13 hingga 15 Mei dan Kazan, Tatarstan pada 15 dan 16 Mei.
Tambahnya, Perdana Menteri juga akan menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa “KazanForum” Ke-16 atas jemputan TYT Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan.
“Semasa di Moscow, Perdana Menteri akan berucap di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO), mengadakan perjumpaan dengan ahli perniagaan Rusia, dan mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia di Moscow.
“Di Kazan pula, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama semasa sesi plenari Kazan Forum pada 16 Mei 2025, menyampaikan ucapan di Mesyuarat Strategic Vision Group dan mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan,” katanya ketika Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Facebook pada Isnin.
Kali terakhir Anwar mengadakan lawatan ke Rusia dan bertemu Putin adalah pada 4 hingga 5 September 2024.
Lawatan kerja tersebut diadakan sempena Forum Ekonomi Timur Ke-9 (EEF) di Vladivostok.
Dalam pertemuan dua hala itu, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai aspek kerjasama antara Malaysia dan Rusia, termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan isu-isu serantau serta antarabangsa.
Lawatan tersebut merupakan yang pertama bagi Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Pertemuan itu juga menandakan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.