PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan kontinjen negara yang akan bersaing pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Anwar menerusi satu hantaran di Facebook berharap sokongan padu dapat diberikan kepada kontinjen negara bagi menempa sejarah dan melakar prestasi yang baik pada temasya yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 8 September.
“Masanya telah tiba untuk kita nyatakan sokongan kepada kontinjen Paralimpik Malaysia!
“Selamat maju jaya buat semua atlet negara. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi langkah kalian di Paris!” katanya.

Malaysia menghantar 30 atlet daripada lapan jenis sukan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang membuka tirai secara rasmi hari ini.
Terdahulu, jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mengibar Jalur Gemilang ketika mengetuai kontinjen negara pada pembukaan rasmi itu.