PULAU PINANG: Dalam suasana penuh harapan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan tentang satu pengumuman besar terhadap rakyat Malaysia khususnya berkaitan tekanan kos sara hidup.
Beliau berkata, pengumuman itu dijangka dibuat Isnin atau Selasa depan, hasil kerjasama rapat pasukan beliau di bawah Kementerian Kewangan, yang kini sibuk memperhalusi pendekatan dan butiran pelaksanaan.
Dengan nada penuh keyakinan dan hormat terhadap rakyat, Anwar menekankan pentingnya pengumuman itu disampaikan dengan penuh teliti dan impak.
“Pengumuman yang nak dibuat mesti besar, sekarang kita nak bagi mantap dulu (apa yang hendak diumumkan), doa bagi elok-elok,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman istimewa apabila memuat naik poster misteri di laman Facebooknya pada 15 Julai lalu.
Beliau memberi bayangan mengenai penghargaan khas yang akan diberikan kepada pihak yang identitinya tidak didedahkan kepada umum.