Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seluruh barisan Jemaah Menteri supaya memberi penegasan khusus terhadap aspek integriti, ekoran pendedahan beberapa kes salah laku dan rasuah yang membabitkan pengurusan tertinggi jabatan serta agensi kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu antara lain menuntut setiap menteri memberi perhatian serius terhadap isu penguatkuasaan yang sebelum ini telah ditegur Perdana Menteri, termasuk dalam perhimpunan bulanan baru-baru ini.
Jelas Fahmi, Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan tertentu yang diambil oleh badan penguatkuasaan dalam kes melibatkan ketua jabatan kerajaan, yang dilihat berpotensi menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Perdana Menteri meminta supaya beberapa isu, khususnya berkaitan aspek penguatkuasaan yang telah ditegur sebelum ini, diberikan penegasan oleh semua anggota Jemaah Menteri.
“Ini kerana terdapat tindakan badan penguatkuasaan yang menunjukkan sikap tidak membantu dan boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri di Putrajaya, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menegaskan, Jemaah Menteri tidak akan mencampuri mana-mana kes yang sedang disiasat dan menyerahkan sepenuhnya tindakan kepada badan penguatkuasaan untuk dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, prinsip itu turut terpakai dalam kes yang melibatkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar serta timbalannya yang kini berada di bawah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Baca juga:








