Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Republik Türkiye bagi mengadakan lawatan rasmi yang bertujuan memperkukuh serta memperluas hubungan dua hala antara Malaysia dan negara berkenaan.
Beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersama delegasi rasmi Malaysia sepanjang lawatan tersebut.
Menurut Anwar dalam kenyataan ringkas di laman rasmi Facebook beliau, lawatan itu membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang strategik, berteraskan nilai persahabatan, saling menghormati dan hubungan erat yang telah terjalin sekian lama antara kedua-dua negara.
Beliau turut menzahirkan harapan agar segala urusan sepanjang lawatan rasmi berkenaan dipermudahkan.
“Insha-Allah,” katanya.
Sebelum ini, pada sidang media Taklimat Pejabat Perdana yang disampaikan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan itu akan menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama strategik Malaysia–Turkiye.
Beliau berkata, Perdana Menteri dijadualkan bertemu Presiden Recep Tayyip Erdogan serta bersama-sama mempengerusikan Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi antara kedua-dua negara.
“Penubuhan mekanisme ini mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan Türkiye dalam mempertingkatkan kerjasama strategik secara lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya pada Isnin.
Lawatan rasmi itu turut merangkumi perbincangan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan serta hubungan antara rakyat.
Selain itu, Anwar juga dijadual menyampaikan syarahan umum serta mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan Turkiye dan diaspora Malaysia.
Program rasmi di Ankara akan memberi tumpuan kepada agenda strategik, manakala di Istanbul, Perdana Menteri akan menghadiri sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi.
Baca juga:








