PM Anwar dapat Anugerah Darjah Kebesaran Kemerdekaan daripada Republik Kosovo

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan Darjah Kemerdekaan atau ‘Order of Independence’ oleh Presiden Republic Kosovo, Vjosa Osamni-Sadriu dalam majlis kunjungan hormat delegasi Kosovo di Bangunan Seri Perdana hari ini.

Anwar berkata penganugerahan itu menjadi bukti persahabatan yang erat antara Malaysia dan Kosovo serta hasil luar negara yang konsisten dalam mengangkat perjuangan hak asasi dan kebebasan rakyat.

“Kami telah menelusuri sejarah Kosovo dan mengagumi ketabahan rakyatnya, yang terpaksa menanggung pelbagai kesukaran, penderitaan, dan kekejaman yang dilakukan terhadap mereka,” katanya.

Difahamkan, anugerah tersebut merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan oleh Republik Kosovo kepada figura yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan negara Kosovo itu.

Anwar dilihat dikalungkan dengan darjah itu oleh Vjosa Osamni-Sadriu yang ketika itu menzahirkan penghargaan terhadap komitmen beliau dalam memperkukuh hubungan antara dua hala antara kedua-dua negara.

Vjosa Osamni-Sadriu berkata, rakyatnya tidak akan pernah melupakan jasa baik Malaysia yang membantu negara republik itu ketika saat genting dalam mencapai kemerdekaan.

“Ketika rakyat kami berdepan ancaman penghapusan etnik, anda (Malaysia) berdiri bersama demokrasi dunia membantu kami.

Kemudian, pada tahun 2008, Malaysia menjadi antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Kosovo.

Keputusan itu membawa makna lebih daripada sekadar diplomasi malah membawa harapan dan solidariti,” katanya dalam Sidang Media hari ini.

Pengiktirafan awal Malaysia terhadap kemerdekaan Kosovo mencerminkan komitmen negara terhadap prinsip hak menentukan nasib sendiri dan solidariti antarabangsa, terutama dalam menyokong negara-negara yang berusaha untuk mencapai kemerdekaan dan kestabilan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat