PM Anwar Puji Keberanian Tujuh Pemuda Selamatkan Nyawa di Tasik Kundang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tersentuhnya setelah membaca kisah keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas untuk menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil yang terlibat dalam nahas di Tasik Kundang kelmarin.

Menurut beliau, tindakan nekad para pemuda itu yang mengutamakan nyawa orang lain walaupun keselamatan diri sendiri menjadi taruhan, telah berjaya menyelamatkan tiga nyawa.

“Penghargaan setulusnya buat tujuh pemuda ini. Keberanian dan keikhlasan kalian mencerminkan nilai kemanusiaan dan ihsan yang amat bermakna,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Anwar turut mendoakan agar ibu serta kedua-dua anak itu diberikan kesembuhan dan terus berada dalam perlindungan Allah SWT.

Baru-baru ini tindakan pantas tujuh pemuda menjadi ‘rantai’ manusia berjaya menyelamatkan seorang wanita bersama dua anak perempuan berusia tiga dan enam tahun yang terperangkap dalam sebuah kereta jenis Proton X50 selepas terjunam ke Tasik Biru, Kundang, Rawang, pada 23 Februari lalu.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat