PM Anwar tegas pendidikan negara harus libatkan identiti tempatan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Intipati kandungan pendidikan negara masih lagi pekat dengan acuan barat.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan akan kepentingan pendidikan berasaskan dekolonisasi agar dapat membentuk pemikiran generasi muda yang lebih memahami sejarah dan budaya sendiri.

Beliau berkata, sistem pendidikan sedia ada masih banyak dipengaruhi acuan Barat sehingga kurang menitikberatkan nilai, sejarah dan identiti tempatan.

“Untuk mengajar dan menyedarkan anak muda menerusi proses dekolonisasi (penyahjajahan) adalah sangat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Commonwealth Legal Education Association (CLEA) Conference 2026 di Universiti Malaya pada Khamis.

Jelas Perdana Menteri, usaha melibatkan anak muda dalam proses itu penting bagi memastikan mereka tidak terpisah daripada akar budaya sendiri.

Pada masa sama, Anwar turut menyentuh isu kedaulatan undang-undang yang perlu dilaksanakan secara adil dan konsisten.

Beliau berkata, dalam realiti geopolitik dunia hari ini, undang-undang antarabangsa sering digunakan secara pilih kasih.

“Tidak boleh ada situasi di mana satu pihak dilindungi, tetapi pihak lain dinafikan hak, termasuk hak untuk mempertahankan diri,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda, khususnya dalam bidang perundangan, agar berpegang kepada prinsip keadilan dan kebenaran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat