PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ahli Lembaga World Scout Foundation (WSF), yang diwakili oleh YM Puteri Sama bint Faisal Al Saud di pejabatnya pada Khamis.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat, Anwar memaklumkan bahawa kunjungan tersebut diadakan bersempena penganjuran temasya ‘World Baden- Powell Fellowship’ untuk kali ke-77 mulai Khamis hingga Ahad 26 Oktober ini.
“Kunjungan Puteri Sama bersempena penganjuran 77th World Baden-Powell Fellowship Event yang berlangsung di Kuala Lumpur mulai semalam sehingga 26 Oktober ini,” katanya.
Perdana Menteri menyatakan, intipati pertemuan itu lebih tertumpu kepada peranan WSF dalam memperkasa generasi muda di peringkat global, termasuk inisiatif ‘Messengers of Peace’ yang memberi kesan positif terhadap pembangunan belia dan keamanan sejagat.
Beliau berkata, Malaysia dan Arab Saud kini berkongsi aspirasi yang sama dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pembangunan belia, inovasi sosial serta diplomasi budaya.
“Semoga jalinan kerjasama ini terus mekar dan menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai kemanusiaan sejagat,” tambahnya.








