PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada bintang muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar selepas atlet muda itu mencatat kemenangan meyakinkan dalam aksi ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok, hari ini.
Menerusi satu hantaran ringkas di Facebook, Anwar memuji semangat juang dan disiplin Johan atau dikenali dengan Jojo yang terus mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan antarabangsa.
“Tahniah Jojo,” tulisnya ringkas.
Dalam perlawanan kategori flyweight berkenaan, Jojo menewaskan petarung Myanmar, Ye Yint Naung, menerusi keputusan sebulat suara selepas menguasai pertarungan tiga pusingan dengan aksi tersusun dan matang.
Pusingan pertama menyaksikan kedua-dua petarung saling menguji kekuatan tanpa kelebihan ketara, sebelum Jojo mula mengambil alih kawalan pada pusingan kedua dengan pemilihan serangan lebih kemas dan berdisiplin.
Atlet kelahiran Malaysia itu terus mengawal tempo pada pusingan ketiga, kekal tenang menunggu ruang sebelum melepaskan kombinasi bertenaga yang memaksa lawan bertahan sehingga tamat perlawanan.
Ketiga-tiga juri sebulat suara menghadiahkan kemenangan kepada Jojo, sekali gus meneruskan momentum cemerlangnya selepas mencatat kemenangan ke atas Zakaria El Jamari dari Maghribi, September lalu.
“Terima kasih kepada Tuhan atas segalanya. Terima kasih Bangkok, saya rasa prestasi saya semakin baik,” kata Jojo selepas perlawanan.
Baca juga:








