PM Anwar zahir dukacita pemergian Menteri Luar Iran

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Bekas Menteri Luar Iran, Kamal Kharazi yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 1 April lalu.

Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang tokoh diplomasi yang disegani dan memiliki keperibadian luar biasa sepanjang perkhidmatannya, termasuk ketika menjadi wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Perdana Menteri berkata, beliau mengenali Dr. Kharazi sejak tempoh tersebut dan hubungan persahabatan mereka berterusan ketika Allahyarham memegang jawatan Menteri Luar Iran.

“Dunia kehilangan seorang diplomat unggul dan saya kehilangan seorang sahabat yang amat dihargai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat,

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta rakyat Iran atas kehilangan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa pemergian Dr. Kharazi menjadi peringatan terhadap kesan buruk konflik yang berterusan, sambil menekankan keperluan agar peperangan tersebut dihentikan segera.

Terdahulu media melaporkan Kharazi, 81, yang ketika itu mengetuai majlis strategik bagi hubungan antarabangsa di bawah kementerian luar, menghembuskan nafas terakhir malam tadi.

Agensi berita Mehr dan Isna melaporkan, diplomat veteran itu sebelum ini cedera dalam satu serangan yang disifatkan sebagai tindakan pengganas oleh pihak Iran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat