PM arah agensi berkaitan percepat urusan rumah madani

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu bersatu dengan mengambil ibrah Merdeka untuk tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan akan terus melaksanakan pembinaan rumah mampu milik walaupun wujud bantahan golongan elit.

“Tiap kali buat perumahan rakyat, ada sahaja bantahan. Kawan-kawan saya text (mesej) kita kena jaga kebersihan, berikan keselesaan rakan-rakan yang ada pendapatan tinggi, (tapi) bila buat rumah, ini tanah siapa…ni kawasan tanah murah. Kemudian orang yang miskin ni nak duduk mana?

“Kawasan baik (banyak) didiami golongan kaya jadi saya nak rakyat bersatulah disebalik penghayatan Merdeka. Jangan kita pinggirkan satu bahagian ini,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa di sini, pada Khamis, memetik Sinar Harian.

Anwar turut mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), supaya mempercepatkan semua urusan berkaitan perumahan Madani untuk setiap projek baru di ibu kota, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pada kadar segera.

Beliau berkata, ini berikutan ada dalam kalangan mereka yang merupakan golongan B40 dan M40, telah menunggu sehingga 10 hingga 20 tahun untuk memiliki sebuah rumah idaman mampu milik.

“Kalau lengahkan kelulusan, kos rumah akan lebih tinggi…rasuah, kos bank semua akhirnya membebankan pembeli, kalau begini negara takkan maju kalau rakyat tidak terbela.

“… Silih ganti kerajaan begitulah keadaannya, jadi mesti ada anjakan (dan) lakukan sekarang, syukur Alhamdulillah semua petanda baik untuk Malaysia, sudah mula pertumbuhan (ekonomi) baik, pelaburan baik, inflasi rendah, jumlah kerja dan gaji penjawat awam pun dah naik,” katanya.

Sebanyak 800 unit Residensi Madani akan dibina syarikat pemaju Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) di atas tanah berkeluasan 0.99 hektar itu, membabitkan pembinaan dua blok bangunan dengan rumah berkeluasan 800 kaki persegi seunit dan akan dijual pada harga RM200,000.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anda Mungkin Berminat