PM arah KPKM segera pulih bekalan beras putih tempatan

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Gesaan itu disampaikan menerusi Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin.

“Perdana Menteri mengambil maklum berkenaan isu beras putih tempatan yang terus menjadi perhatian di negara ini.

“Pemulihan bekalan ini sedang dilaksanakan secara berfasa. Perdana Menteri juga mengarahkan Kementerian untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara berkala kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import daripada 5,000 sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) disahkan bercampur dengan beras putih tempatan.

Kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024 dengan sampel beras diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil dari pengilang.



Dalam pada itu, BPT bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) dijual di pasaran bermula 1 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, penjualan disasarkan kepada 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin termasuk 77,000 KIR miskin tegar dan setiap KIR dihadkan untuk membeli dua pek bagi setiap pembelian.

Bagaimanapun, tinjauan media di beberapa lokasi mendapati beras putih tempatan pada harga kawalan RM2.60 sekilogram masih belum tersedia di pasaran.

Anda Mungkin Berminat