PM Arah KPT Selaras Bantuan Buat Keluarga Mangsa Nahas Bas UPSI

PETALING JAYA: Negara dikejutkan dengan satu kemalangan tragis awal pagi tadi di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Nahas yang berlaku sekitar pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu hantaran di Facebook meluahkan rasa dukacita atas tragedi itu.

“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.

“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.

“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.

“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” ujarnya.

Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Menurut laporan awal, seramai 13 mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik.

Selain itu, 48 individu terlibat dalam kemalangan itu dengan tujuh mangsa berada dalam zon merah, 20 di zon kuning dan 16 di zon hijau.

Anda Mungkin Berminat