PM arah selaraskan bantuan dengan MB Selangor, Petronas

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan agar semua bantuan dan usaha koordinasi berkaitan dengan kebakaran di Putra Heights diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan pihak Petronas.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengurusan bantuan di lapangan dilaksanakan dengan teratur dan lebih berkesan.

Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, dan sektor industri amat penting untuk menangani situasi ini dengan segera dan menyeluruh.

“Segala bentuk bantuan dan usaha koordinasi terkait insiden kebakaran di Putra Heights perlu diselaraskan secara langsung dengan Menteri Besar Selangor dan pihak Petronas yang diketuai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz,” kata kenyataan itu.

Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan semasa dan memberikan sokongan penuh terhadap usaha pemulihan serta keselamatan yang sedang dilaksanakan.

Kebakaran besar yang melibatkan saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa lalu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Kejadian ini mengubah landskap kawasan tersebut kepada kawah besar dengan kedalaman 32 kaki dan keluasan sekitar 70×80 kaki, serta memusnahkan kediaman dan harta benda dalam radius 500 meter.

Sebanyak 235 premis terjejas, dengan 87 terbakar sepenuhnya dan 148 rosak. Kira-kira 400 kenderaan turut terjejas, dengan 225 hangus dan 174 rosak.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa 48 daripada 134 mangsa masih menerima rawatan di hospital dan klinik. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat