Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seluruh jemaah menteri dan timbalan menteri untuk menghentikan lawatan ke luar negara buat sementara agar dapat memberi tumpuan yang penuh kepada persiapan Belanjawan 2026 dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menerusi Sidang Mingguan pada Rabu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata arahan terbabit berkuat kuasa serta merta namun berkecuali terhadap mesyuarat berjadual dan yang telah diberi pertimbangan khusus oleh barisan kabinet.

“Ini bagi memastikan menteri-menteri memberi fokus dan keutamaan kepada pelaksanaan beberapa program dan juga persiapan menuju Belanjawan 2026, yang akan dibentangkan Perdana Menteri pada 10 Oktober dalam masa beberapa minggu lagi.
“Ia juga (bersempena) persiapan menuju sidang kemuncak ASEAN, yang akan berlangsung pada hujung Oktober.
“Jadi keputusan ini telah dibuat dan akan berkuasa serta-merta,” katanya.
Difahamkan, belanjawan 2026 bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 10 Oktober ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pula akan berlangsung di ibu negara pada bulan hadapan, dengan beberapa pemimpin besar dijangka hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang.
Baca juga: