Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi serta pihak berkaitan supaya segera turun padang untuk membantu pengurusan pascabanjir termasuk di Johor dan Sabah.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, langkah susulan itu penting bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir, terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Mengambil kira situasi di Johor dan Sabah yang kini beransur pulih, seharusnya semua pihak termasuk badan bukan kerajaan serta sektor swasta, menggembleng tenaga membantu mempermudahkan kesulitan dihadapi mangsa banjir.
“Bencana itu membawa kepada kerosakan harta benda, aset termasuk (menjejaskan) persiapan Aidilfitri yang disediakan sebelum ini,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, situasi di Johor berada dalam keadaan yang semakin baik dengan jumlah yang terus menurun kepada 1,096 orang setakat 5.08 petang hari ini berbanding pada 2,455 semalam dan kini semuanya ditempatkan di 10 pusat penempatan sementara (PPS) di dua daerah.
Manakala di Sabah pula, jumlah mangsa banjir kekal kepada 138 orang setakat 12:00 tengah hari tadi dan suasana banjir di sana hanya melibatkan dua daerah iaitu di Beufort dan Sebauh.








