PETALING JAYA: Sebagai tanda solidariti terhadap mangsa kebakaran akibat letupan paip gas di Putra Heights, kerajaan mengambil keputusan untuk membatalkan Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Peringkat Selangor, yang sepatutnya berlangsung pada 6 April 2025.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu turut mendapat perkenan Sultan Selangor dan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencerminkan keprihatinan mendalam terhadap keluarga yang terkesan akibat tragedi tersebut.
Menurutnya, makanan yang telah disediakan untuk majlis itu akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti penghuni pusat pemindahan, rumah anak yatim, warga emas serta petugas keselamatan sebagai usaha membawa sedikit kelegaan kepada mereka.
“Kerjasama dan persefahaman semua pihak amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.
“Keputusan ini (membatalkan) diambil demi menghormati mangsa serta keluarga yang terkesan akibat insiden berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menyampaikan rasa terima kasih kepada semua pihak atas dedikasi mereka dalam persiapan majlis itu.
Beliau turut mendoakan kekuatan dan ketabahan buat mangsa tragedi.
“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dan mengurniakan kekuatan kepada mangsa serta keluarga dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya.