PM Beri Syarahan Khas Di Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza Malam Ini

KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka bakal menjadi saksi kepada gelombang solidariti luar biasa malam ini apabila lebih 100,000 rakyat dijangka hadir dalam Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza, sebuah acara bersejarah yang dinaungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program ini bukan sekadar perhimpunan tetapi satu manifestasi kasih sayang dan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Ia merupakan kemuncak kepada Karnival Sumud Nusantara 2025 yang dianjurkan bersama oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).

Acara akan bermula sejurus masuk waktu Maghrib dengan solat berjemaah dan solat hajat perdana yang dipimpin oleh Sheikh Abdul Karim Al-Makki.

Seusai itu, pentas akan diisi dengan tausiah, bacaan Qunut Nazilah dan syarahan khas oleh Perdana Menteri yang dijangka menyentuh isu kemanusiaan Gaza serta peranan Malaysia sebagai suara damai di pentas dunia.

Antara detik penting malam ini termasuk pembacaan Deklarasi Sumud Nusantara untuk Gaza, pelepasan delegasi Flotilla Sumud Nusantara serta persembahan qasidah oleh kumpulan Majelis AzZahir yang dipimpin Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, himpunan itu adalah sebahagian daripada gelombang sumud global yang sedang bangkit menyeru dunia agar menghentikan perang dan membuka laluan Rafah untuk bantuan kemanusiaan.

Lebih 1,000 kenderaan dari seluruh Malaysia dan lapan negara dijangka menyertai konvoi darat menuju ke Dataran Merdeka dengan mengibarkan bendera Palestin sebagai simbol perpaduan Nusantara.

“Bersempena Bulan Kemerdekaan, kita mahu rakyat Malaysia bukan sekadar mengenang sejarah tetapi turut merasai penderitaan Palestin dan bersama-sama membantu membebaskan Gaza daripada cengkaman regim Zionis,” katanya.

Orang ramai digalakkan hadir berpakaian serba putih, membawa sejadah dan payung serta menggunakan pengangkutan awam bagi memastikan kelancaran perhimpunan.

Kehadiran bersama keluarga amat dialu-alukan yang akan menjadikan malam ini bukan sahaja sebagai medan solidariti tetapi juga ruang ibadah dan refleksi kemanusiaan.

Anda Mungkin Berminat