PUTRAJAYA: Malaysia dan Laos sepakat mempercepat usaha memperkukuh kerjasama pelabuhan darat antara kedua-dua negara bagi melancarkan aliran dagangan serantau, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi serantau ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabuhan darat di Perlis dan Thanaleng, Laos dijangka siap sepenuhnya tahun ini dan bakal menjadi pemacu baharu kepada perdagangan dua hala serta rantau ASEAN secara keseluruhan.
“Ia berjalan lancar dan kita sedang memperluas kemudahan terbabit. Kita sudah menandatangani persefahaman dengan Pelabuhan Pulau Pinang supaya aliran barangan dari Pulau Pinang ke Perlis dan seterusnya ke pelabuhan darat di Thanaleng dapat berjalan dengan cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone sempena lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia, hari ini.
Kerjasama itu turut melibatkan latihan dan pengurusan pelabuhan membabitkan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, yang bersedia menawarkan khidmat kepakaran kepada pihak Laos.
“Ia akan menjadi satu contoh kerjasama penting dalam aspek pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara,” kata Anwar.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai isu lain termasuk buruh, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta pembangunan tenaga alternatif termasuk unsur nadir bumi.
Anwar turut memaklumkan perbincangan turut menyentuh cadangan projek kereta api ekspres ASEAN yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara negara ASEAN ke China, serta menyokong proses keanggotaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN menjelang Oktober ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Laos menyambut baik kerjasama sedia ada dan yakin hubungan dua hala dengan Malaysia akan terus diperkukuh melalui inisiatif strategik serantau.
Baca juga: