PM China, Anwar bincang kukuh hubungan dua negara

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Perdana Menteri China, Li Qiang bagi mengukuhkan hubungan dua negara ketika berada di Shanghai pada Selasa.

Menurut Anwar, dalam pertemuan itu, Malaysia mengulangi pendirian yang menerima baik prinsip perkongsian masa hadapan yang diutarakan oleh Presiden Xi Jinping sebelum ini, yang menekankan soal perkongsian kemakmuran untuk manfaat setiap individu dan negara.

“Prinsip ini menjadi antara asas penting mengapa Malaysia memilih menyertai pakatan BRICS. Dalam soal ini, saya menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan China terhadap penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Mengulas mengenai kerjasama Malaysia-China, Anwar menyatakan Malaysia kekal terbuka dan mengalu-alukan kerjasama strategik serta lebih banyak pelaburan terkait teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan serta dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi.

Katanya, Malaysia juga mahu mempertingkatkan hubungan perdagangan terutama membabitkan produk halal, sektor pertanian komoditi dan menggalakkan pertukaran kepakaran serta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Saya turut nyatakan bahawa Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar yang dilaksanakan, terutama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat dan mencapai pembangunan mampan.

“Malaysia punyai ruang belajar daripada kejayaan China dalam lingkungan ini menerusi kerjasama dengan China International Development Cooperation Agency (CIDCA) dan International Poverty Reduction Centre (IPRCC),” katanya.

Dalam pada itu, selesai sahaja pertemuan tersebut, Anwar berkata, beliau dan Premier Li menyaksikan pertukaran dokumen terkait Belt and Road Initiative (BRI) serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan China Media Group (CMG).

“Pertemuan ini telah mempererat hubungan peribadi antara saya dan Premier Li, dan memperkukuh persahabatan Malaysia-China yang pastinya akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat