PETALING JAYA: Situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak ketika ini mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Khamis, menzahirkan perasaan dukacita dan simpati kepada ribuan mangsa yang terjejas dengan bencana tersebut.
Beliau berkata, keutamaan negara saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.
Justeru, beliau mengarahkan beberapa agensi kerajaan untuk memberi bantuan dan operasi keselamatan di lokasi banjir terlibat.
Arahan ini katanya, termasuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri.
“Jabatan Pendidikan Negeri turut diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan SPM yang terjejas dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.
“Skuad Ihsan Madani akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.
“Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” katanya.
Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk dengan lebih 8,000 orang dipindahkan.
Berdasarkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat mendadak setakat 3 petang Rabu dengan seramai 5,106 orang daripada 1,416 keluarga dipindahkan ke 42 PPS yang dibuka.
Antara kawasan terlibat adalah Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Bintulu dan Miri.
Di Sabah, jumlah terkini mangsa yang terjejas adalah 3,550 daripada 1,232 keluarga yang dipindahkan ke 25 PPS terdekat.
Daerah yang terbabit banjir termasuk Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.