PM Gesa Ketua Setiausaha, Jabatan Tangani Isu Pra-Pembangunan Secara Tuntas

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan di setiap kementerian kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap isu-isu pra-pelaksanaan projek pembangunan yang sering menjadi penghalang kelancaran pelaksanaan.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk status tanah mendap atau wakaf, proses pengambilan tanah, hakisan serta jajaran laluan air faktor-faktor yang kerap menimbulkan kelewatan dan pembaziran dalam projek-projek kerajaan.

Dalam satu hantaran di Facebook rasminya pada Khamis, Anwar menekankan keperluan untuk menoktahkan segala bentuk kekangan yang membantutkan pembangunan negara.

“Mesej saya jelas bahawa kekangan seperti ini tidak boleh berulang kerana ia hanya membawa kepada pembaziran peruntukan dan menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat,” katanya.

Kenyataan itu hadir selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negara Bilangan 2 Tahun 2025 iaitu satu sesi penting yang meneliti hala tuju dan penyelarasan projek-projek pembangunan yang melangkaui Rancangan Malaysia Ke-11.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan garis panduan baharu berkaitan perlindungan dan pengalihan utiliti serta kajian awalan bagi mengoptimumkan pelaksanaan projek secara menyeluruh.

Anwar turut menekankan keperluan untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber tempatan dalam pembangunan negara.

“Sayugia, semua pihak terlibat perlu mengutamakan penggunaan sumber, produk dan peralatan tempatan bagi mengoptimumkan perbelanjaan pembangunan.

“Hatta penjimatan hasil langkah ini wajar disalurkan semula untuk meningkatkan kemudahan asas dan infrastruktur utama rakyat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat