KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa agar segera menyiasat dan menangkap individu yang bertanggungjawab mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dalam insiden tegang di Kampung Sungai Baru.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, namun kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan keganasan.
“Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan,” katanya pada Khamis.
Anwar turut mengecam tindakan menyerang penjawat awam ketika mereka menjalankan tugas dengan menyifatkannya sebagai perbuatan keji yang tidak boleh diterima.
“Prinsip kebebasan menuntut kita bertanggungjawab dan patuh pada hukum, adab serta undang-undang.
“Berhimpun secara aman tidak harus disalahguna untuk kepentingan politik sempit yang mencetuskan suasana tidak tenteram,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, sebarang bentuk keganasan yang berpunca daripada hasutan, kebencian dan penyebaran maklumat palsu tidak boleh dibiarkan berakar dalam masyarakat.
“Keganasan yang dipupuk melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh dibiarkan berakar dalam masyarakat kerana ia hanya merosakkan keharmonian negara,” tegasnya.