PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam insiden di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi.
Anwar mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan.
“Semoga kedua-dua anggota TUDM ini cepat sembuh dan dipermudahkan proses rawatan serta pemulihan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Perdana Menteri turut meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil.
Insiden berlaku di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Pangkalan Udara Kuantan, melibatkan dua juruterbang TUDM yang selamat selepas pesawat F/A-18D Hornet yang mereka pandu terbabit kemalangan.
Kedua-dua anggota itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan ambulans Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menerima rawatan lanjut.
Baca juga: