PM Guna Kuasa Hubungan Diplomasi Tertinggi Bawa Pulang 23 Wira GSF – Mohamad Hasan

Oleh: Tyah Helmi

SEPANG: Kepulangan 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ke tanah air bukan sekadar menandakan tamatnya sebuah misi kemanusiaan tetapi menjadi simbol kebangkitan solidariti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Gaza.

Kesemuanya tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.07 malam Selasa, disambut sebagai wira oleh ribuan rakyat Malaysia yang menanti dengan penuh haru dan semangat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohammad Hasan yang turut hadir dalam ucapannya berkata, para sukarelawan tidak memasuki Israel secara haram, sebaliknya hanya ingin ke Gaza untuk misi kemanusiaan.

“Jadi jangan mempercayai tohmahan orang. Alhamdulillah rakyat Malaysia yang membawa semangat Malaysia kita, di bawah Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau (Perdana Menteri) telah pun menjalankan kuasa hubungan diplomasi yang tertinggi dan berjaya membawa pulang anak-anak kita ke Malaysia dengan selamat, syukur Alhamdulillah,” katanya.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara termasuk 23 rakyat Malaysia yang terdiri daripada aktivis, pengamal media, pendakwah bebas dan selebriti.

Mereka berlayar menuju Gaza untuk memecahkan sekatan Israel dan menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung kepada rakyat Palestin.

Namun, misi itu disekat secara agresif oleh tentera Israel yang menyerang dengan meriam air berbau busuk dan ugutan keras sebelum menahan kesemua aktivis secara paksa dan membawa mereka ke penjara Katzion di Pelabuhan Asydod.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Halim berkata, misi GSF bukan sekadar angka tetapi lambang kesatuan umat Islam dalam memperjuangkan kebebasan Gaza.

“Tidak kira latar belakang, jawatan dan identiti, Malaysia mempunyai perbezaannya, kita berjuang dengan kesatuan hati, ingat betul-betul sejarah hari ini bahawa tindakan Malaysia ke atas pembebasan Gaza sehingga diketahui dunia.

“Jadi tekadkan hati, kuatkan semangat, kita tidak terhenti di sini, InsyaAllah,” ujarnya.

Turut menyuarakan pandangan, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang menyertai misi sebagai pemerhati di kapal Jong Melayu.

Beliau berkata, walaupun misi tidak berjaya menembusi kepungan Israel, ia tetap berjaya mengangkat semula isu Gaza ke pentas dunia.

“Dan bukti, adalah kehadiran ratusan rakyat Malaysia yang hadir bersama-sama menyambut di Majlis Sambutan Kepulangan sukarelawan GSF Malaysia.

“Tetapi jangan lupa perjuangan kita baru bermula, mereka yang berada di bumi Gaza pada saat ini, mereka masih lagi dibedil, mereka masih lagi, mereka masih lagi dizalimi, malangnya hari ini dan semalam menandakan sudah dua tahun mereka berada di dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel,” katanya.

Kepulangan para sukarelawan ini bukan sekadar membawa pulang tubuh yang selamat tetapi juga semangat perjuangan yang membara.

Ia menjadi titik tolak kepada gerakan yang lebih besar, di mana gerakan menuntut keadilan, kebebasan dan kemanusiaan buat Gaza, yang kini semakin lantang disuarakan oleh rakyat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat