PUTRAJAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga pusat ekonomi utama dunia bermula esok hingga 7 Julai akan menggunakan perkhidmatan penerbangan sewaan khas daripada Malaysia Airlines.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira jadual lawatan yang padat ke Rom (Itali), Paris (Perancis) dan Rio de Janeiro (Brazil) tanpa keperluan transit panjang, selain kos yang lebih terkawal berbanding penggunaan pesawat kerajaan.
“Penerbangan sewaan khas ini membolehkan delegasi kerajaan dan perniagaan berlepas serta tiba serentak, sekaligus memastikan kehadiran tepat pada waktunya bagi semua mesyuarat dan sesi libat urus,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau menegaskan, kos penerbangan hanya akan ditanggung oleh kerajaan untuk delegasi rasmi, manakala delegasi perniagaan menanggung sepenuhnya kos masing-masing.
“Delegasi perniagaan akan mengikuti keseluruhan lawatan di ketiga-tiga negara, dan penyertaan mereka dalam delegasi besar Malaysia membantu menjimatkan kos secara menyeluruh. Tiada konflik kepentingan antara pihak kerajaan dan sektor swasta dalam lawatan ini,” jelasnya.
Antara syarikat yang menyertai delegasi perniagaan termasuk Petronas, Khazanah Nasional, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, FGV, YTL Power dan Sunway.
Tunku Nashrul turut memaklumkan bahawa lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan, membuka peluang pasaran baharu, serta menjana pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, kehadiran Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak BRICS akan mewakili suara ASEAN dalam tadbir urus global, serta memperkukuh agenda kerjasama Selatan-Selatan.