PM Hadiri ‘Konsert Persahabatan ASEAN 2025’, Serlah Semangat Perpaduan Serantau

PETALING JAYA: Dalam suasana penuh warna-warni dan harmoni, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memeriahkan ASEAN Friendship Concert 2025 yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media pada malam Sabtu, sebagai simbol keakraban dan semangat persaudaraan serantau.

Konsert berprestij itu diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025, membawa tema “Melodies of Unity, Rhythms of Friendship” iaitu satu wadah seni yang menyatukan negara-negara anggota melalui muzik, budaya dan warisan yang merentasi sempadan.

Lebih daripada sekadar persembahan, acara itu menekankan peranan seni sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat ASEAN, memperkukuh hubungan serantau dalam semangat saling menghormati dan memahami.

“Budaya dan muzik menyatukan kita di sebalik perbezaan bahasa dan bangsa.

“Ia melambangkan kekuatan ASEAN yang berteraskan perpaduan,” menurut hantaran Facebook oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Selama 90 minit, pentas konsert diserikan dengan persembahan istimewa daripada artis ternama mewakili kesemua 10 negara ASEAN serta Timor-Leste, diiringi Orkestra RTM yang terdiri daripada 44 pemuzik profesional yang juga menampilkan kepelbagaian irama dan tradisi yang mencerminkan kekayaan budaya rantau ini.

Suasana yang meriah dan penuh semangat kebersamaan itu turut mengangkat aspirasi “ASEAN: One Vision, One Identity, One Community”, selari dengan cita-cita membina masa depan yang bersatu dan inklusif.

Konsert itu juga merupakan antara acara kemuncak menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dengan Malaysia sebagai tuan rumah bagi memperkukuh peranan negara dalam memimpin agenda perpaduan dan kerjasama serantau.

Anda Mungkin Berminat