PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Meraikan Penerbitan Buku ‘The Man Who Could Move Mountains – Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris’ anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Buku tersebut diterbitkan sebagai penghormatan kepada Allahyarham S.M. Mohamed Idris, atau lebih dikenali sebagai Uncle Idris, anak jati Pulau Pinang yang merupakan tokoh aktivis pengguna dan sosial disegani di peringkat nasional serta antarabangsa.
Anwar yang mengenali Allahyarham sejak tahun 1970-an berkata, sepanjang lebih 55 tahun perjuangan, beliau dikenali sebagai seorang insan yang sopan, tegas berprinsip dan bijaksana dalam menangani isu-isu dasar merentasi lapisan masyarakat dan generasi.
“Penerbitan buku ini bukan sahaja merakam sumbangan besar Allahyarham kepada gerakan masyarakat sivil, malah menjadi khazanah ilmu yang mengangkat nilai keberanian moral, keprihatinan sosial dan komitmen terhadap keadilan,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru komuniti aktivis sosial agar terus menjadi penggerak perubahan, meneruskan aktivisme sivik berteraskan kemanusiaan serta menjadikan naskhah tersebut sebagai rujukan dan panduan kepada generasi aktivis masa hadapan.








