PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Pembukaan serta Opening Gambit Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, hari ini.
Selepas pertunjukan udara yang memukau, Anwar mengambil kesempatan untuk berinteraksi secara langsung dengan peserta pameran daripada pelbagai agensi serta syarikat industri pertahanan dan aeroangkasa dalam sesi walkabout.
Dalam kenyataan di Facebook, beliau memaklumkan turut menyaksikan sesi menandatangani serta pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan beberapa syarikat utama termasuk Weststar Aviation, Mildef International Technologies (MILDEF) dan Lumut Naval Shipyard (LUNAS).
Perdana Menteri kemudian menerima taklimat daripada Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), di mana beliau menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian jurutera muda tempatan dalam bidang aeronautikal, avionik, mikro-satelit, kecerdasan buatan (AI), simulasi penerbangan serta teknologi baharu yang berkembang pesat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerjasama antara industri tempatan dan sektor Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dianggap sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia.
“Kesediaan industri tempatan menjalin kerjasama dengan sektor pendidikan TVET amat saya hargai sebagai langkah strategik menyediakan Malaysia dengan sumber insan yang kompeten dalam teknologi tinggi,” katanya.