PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang menganjurkan Forum Ilmuan Malaysia MADANI (FIM).
Hadir pada forum anjuran TNB di ibu negara malam tadi, Anwar berkata, ia boleh dijadikan pentas untuk sarjana pemikir negara melontarkan idea mereka untuk digunakan oleh kerajaan.
“Sekalung penghargaan kepada pihak TNB sebagai GLC pertama yang menjayakan Forum Ilmuan Malaysia MADANI malam tadi.
“Harapan saya adalah agar jalinan kerjasama daripada semua pihak yang hadir ke forum ini dapat diteruskan dengan lebih kukuh demi rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Turut hadir pada forum itu adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong.

Menurut Anwar, beliau sendiri telah mengilhamkan forum seumpama ini ketika mula menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu sebagai satu agenda dan platform bagi mewujudkan serta mencambah budaya wacana yang sihat.
FIM merupakan satu inisiatif diilhamkan Anwar sebagai satu bentuk wacana intelektual yang menjadi platform bagi para ilmuan dan tokoh daripada segenap latar belakang masyarakat untuk berbincang mengenai isu, cabaran dan tindakan dalam menangani masalah masyarakat semasa.
Dianjurkan secara bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan GLC terpilih, ia diharap memberi input dan pandangan yang bermakna kepada kepimpinan negara dalam merangka dasar atau program pembangunan negara.
Sementara itu menurut Anwar, FIM yang julung-julung kali diadakan itu akan diteruskan secara bulanan dengan kerjasama GLC yang lain.