PM hargai usaha pasukan keselamatan, petugas kesihatan bantu mangsa banjir

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan tinggi terhadap usaha dan semangat yang dipamerkan oleh pasukan keselamatan.

Beliau berkata, itu termasuk petugas kesihatan serta seluruh agensi kerajaan persekutuan dan negeri dalam membantu menguruskan kebajikan dan keperluan mangsa banjir ketika ini.

“Penat lelah sehingga terpaksa berjauhan serta meninggalkan keluarga mereka, akan dikenang sebagai satu pengorbanan besar yang tidak ternilai kepada rakyat dan negara.

“Kepada sektor swasta, ayuh kita harungi bersama dan semarakkan semangat kebersamaan untuk terlibat dalam misi bantuan membantu rakyat yang memerlukan serta dilanda kesusahan saat ini,” katanya.

Anwar juga menyeru semua pihak untuk turun padang dan sama-sama membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir sehingga mereka dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.

Kini dilaporkan, seramai 58,141 penduduk daripada 18,338 keluarga terjejas akibat banjir di Kelantan setakat pukul 6.42 pagi tadi.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 168 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di lapan daerah negeri itu.

Anda Mungkin Berminat