PM Hulur Bantuan Baiki Rumah Usang di Balok

KUANTAN: Di sebalik dinding papan yang merekah dan bumbung zink bocor yang hanya dilapik plastik hitam, tersimpan kisah ketabahan hidup Rahayu Sulong dan suaminya, Afendi, di Kampung Tebing Tinggi, di sini.

Setiap malam, pasangan suami isteri itu tidur beralas tikar lusuh di rumah pusaka yang semakin uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.

Namun begitu, mereka tidak pernah mengeluh apatah lagi meminta simpati, sebaliknya memilih untuk terus tabah menghadapi hidup seadanya.

Rahayu bekerja di kantin sekolah dengan pendapatan harian yang tidak menentu, manakala suaminya membantu menjual buah-buahan di gerai kecil.

Prihatin dengan kesusahan mereka, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan bantuan menerusi inisiatif Ziarah MADANI.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang turut meneliti bentuk bantuan pembaikan rumah yang boleh dilaksanakan segera.

“Kami tidak datang hanya untuk melihat tetapi untuk mendengar rintihan dan membawa perubahan.

“Ini bukan sekadar sumbangan, ini tanggungjawab kita sesama insan,” kata Ahmad Farhan.

Anda Mungkin Berminat