PM Hulur Bantuan Kepada Wanita Sakit Radang Sendi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap nasib rakyat apabila menyampaikan sumbangan tunai dan bakul makanan kepada Rokiah Mat Ali, seorang wanita yang bergelut dengan penyakit ‘arthritis’ (radang sendi) sehingga membataskan pergerakannya.

Menurut satu hantaran Facebook pada Khamis, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi memaklumkan bahawa bantuan awal itu disalurkan atas sokongan Perdana Menteri bagi meringankan beban Rokiah dan sebagai tanda bahawa beliau tidak keseorangan dalam menghadapi ujian hidup.

“Langkah pertama saya masuk ke kediaman Puan Rokiah Mat Ali di Taman Dato Rashid, Kuantan terasa begitu menyedihkan.

“Beliau menyambut kami dengan senyuman lembut, walau tubuhnya sedang bergelut dengan penyakit arthritis yang membataskan setiap gerak,” katanya.

Farhan turut berkongsi luahan Rokiah yang menyentuh hati, apabila beliau menceritakan kesukaran untuk bergerak seperti dahulu akibat penyakit yang dihidapi.

“Rokiah berkongsi bagaimana penyakit ini membuatkan beliau sukar untuk bergerak seperti dulu, namun kata-katanya penuh ketabahan.

“Ada sinar kekuatan dalam matanya, seolah-olah mahu memberi inspirasi kepada kami yang hadir,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak Perdana Menteri turut mendoakan agar Rokiah terus diberikan kesembuhan dan aafiyah oleh Allah SWT.

Anda Mungkin Berminat