KUANTAN: Impian seorang anak mekanik dari Kampung Sungai Karang Darat untuk bergelar doktor kini selangkah lebih dekat menjadi kenyataan apabila menerima sumbangan khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nur Hartini Hidayah, pelajar cemerlang SPM 2024 yang meraih 11A, bukan sekadar membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan ukuran kejayaan, malah menjadi inspirasi kepada ribuan remaja lain di luar bandar.
Menurut hantaran di Facebook, anak kepada seorang mekanik dan ibu suri rumah ini ditawarkan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan telah terpilih untuk sesi temuduga Program YTP MARA peringkat A-Level Australia sebagai persediaan ke bidang perubatan.
Namun kejayaan akademik itu turut dibayangi kerisauan tentang kekangan kewangan yang boleh menjejaskan perjalanannya ke menara gading.
Menyedari hal ini, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi tampil menyampaikan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri sebagai tanda sokongan moral kepada Hartini.
Beliau turut menyerahkan sebuah komputer riba untuk membantu Hartini membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam universiti.
“Maka, bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sumbangan sebagai dorongan dan sokongan buat beliau,” katanya.
Usaha itu turut mendapat perhatian segera Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memberi komitmen untuk meneliti permohonan dan menyokong aspirasi Hartini.
“Kerajaan MADANI komited agar setiap anak tanpa mengira latar belakang untuk diberi ruang dan peluang untuk berjaya.
“Kita tidak boleh biarkan masa depan yang gemilang terhenti hanya kerana dia dilahirkan dalam serba kekurangan,” tambah beliau.