PM hulur sumbangan buat pegawai polis terlibat dalam kemalangan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sumbangan buat Pegawai Rendah Polis Kontinjen Perak yang terlibat dalam kemalangan pada Isnin.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Polis Perak, kemalangan tersebut berlaku ketika pegawai berkenaan sedang menjalankan tugas eskot Anwar untuk menghadiri Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh, Perak.

”Pegawai Rendah Polis tersebut, Lans Koperal Mohd Faizol Deraman sedang menaiki motosikal sambil mengawal lalu lintas merempuh kenderaan di hadapannya yang berhenti secara tiba-tiba.

”Mohd Faizol yang cedera ringan kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil,” kata kenyataan tersebut.

Insiden tersebut turut disaksikan oleh Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Azizi Mat Aris yang turut membantu pegawai berkenaan.

Beliau memberikan bantuan kecemasan awal terlebih dahulu kepada Faizol sebelum dia dihantar ke hospital.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat