PM Hulur Sumbangan Tunai Kepada Mangsa Ribut Balok

KUANTAN: Beberapa keluarga yang terjejas akibat ribut kuat di Balok, Kuantan pada 16 September lalu menerima bantuan segera daripada kerajaan termasuk sumbangan tunai dan barangan asas bagi meringankan beban.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 11 malam itu menyebabkan kerosakan teruk pada banyak kediaman, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bantuan disampaikan dalam satu program khas di Pusat Komuniti MADANI Indera Mahkota yang turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

“Bersama pasukan, kami berkumpul di Pusat Komuniti MADANI Indera Mahkota untuk menyantuni mangsa-mangsa bencana ribut ini,” katanya dalam satu hantaran pada Selasa.

Menurut Farhan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuantan telah menyalurkan bantuan awal berupa barangan asas seperti tikar dan toto kepada mangsa yang terjejas.

Sumbangan tunai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disampaikan kepada setiap keluarga yang terlibat dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pahang.

“Kami juga menghulurkan bakul makanan bagi meringankan beban mereka seharian.

“Semoga bantuan ini memberi sedikit kelegaan dan kekuatan buat mereka yang diuji,” katanya lagi.

Ribut yang melanda kawasan berkenaan berlaku ketika hujan lebat menyebabkan sebahagian rumah mengalami kerosakan pada bumbung dan struktur binaan lain.

Anda Mungkin Berminat