PM ingatkan semua pihak, usah jadi ‘jaguh’ isu pindah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua pihak untuk tidak menjadi jaguh berhubung isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

“Masalahnya ada penunggang agama termasuk peguam yang tidak pernah terbabit dalam kegiatan agama Hindu terus jadi jaguh dan buat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil),” katanya.

Ini kerana katanya, pihak yang berkaitan sedang berunding dan mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan ia dapat berjalan dengan lancar.

Anwar turut berharap usaha mencari solusi terbaik dapat terus dilaksanakan oleh pihak yang berkepentingan agar isu tersebut boleh diselesaikan dengan baik.

“Saya tidak boleh bayangkan saya sebagai Perdana Menteri merobohkan mana-mana kuil atau kegiatan agama lain,” katanya, memetik portal berita tempatan pada Jumaat.

Jelas beliau, tanah kuil berkenaan bukan milik kerajaan, sebaliknya ia milik pihak swasta sejak 2012 dan pemiliknya memutuskan untuk membangunkan masjid di lokasi tersebut.

“Kuil yang lama dan statusnya tidak mendapat kebenaran, tidak sah tetapi bagi memastikan hubungan kita harmoni, syarikat (pemilik tanah) setuju untuk menyalurkan sedikit bantuan manakala pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sebenarnya sudah mencari tapak tanah ganti, supaya tidak menjadi masalah,

“Saya juga harap tidak perlu ada respons yang kurang wajar termasuk dalam kalangan masyarakat Islam dan kita tangani dengan baik kerana masjid akan terus dibina, tapak kuil akan disediakan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat